Apabila tokoh agama menasihatkan mengenai hak- hak yang bukan milik mutlak, misalnya fakir miskin yang tidak dijemput pada majlis perkahwinannya itu, Rozita berkata, “Saya bayar zakat pendapatan setiap tahun. Saya bagi kepada orang yang berhak, seperti anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan. Saya buat pada bulan Ramadan sebab nak keberkatan bulan itu. Takkanlah setiap kebaikan yang kita buat itu perlu dihebahkan? Sebab itu saya yakin tiada yang telah teraniaya sewaktu majlis saya berlangsung.”
PERKAHWINAN Rozita Che Wan, 40, dengan anak muda, Zain Saidin, 29 menjadi bualan masyarakat bukan kerana “cemburu” bersuamikan lelaki muda tetapi majlis perkahwinan yang menelan belanja RM13 juta.
Rozita atau Che Ta yang akan melangsungkan perkahwinan Rabu ini ditegur oleh beberapa tokoh agama supaya berpada-pada berbelanja. Belanja majlis perkahwinan RM13 juta adalah yang tertinggi oleh artis negara ini selepas beberapa pasangan artis lain yang menjangkau berjuta-juta ringgit.
Masyarakat bukan cemburu dengan kekayaan yang Rozita dan Zain miliki kerana mereka berdua membuat hantaran lebih RM100,000 seorang. Tetapi masyarakat tidak mahu perkahwinan yang dituntut oleh Islam menjadi tempat memperagakan kemewahan seterusnya menjadi ikutan.
Tetapi dalam pertemuan eksklusif dengan Pancaindera, Rozita menafikan belanja majlis perkahwinan RM13 juta.
“Orang kata Che Ta belanja besar sampai RM13 juta untuk perkahwinannya, itu silap. RM10 juta itu adalah nilai tajaan barang kemas untuk tiga majlis berasingan (nikah, berinai dan bersanding). Belanja tajaan majlis perkahwinan hanya RM3 juta seperti pakaian, katering, dekorasi, fotografi, cenderamata dan solekan,” kata Rozita.
Ini bermakna Rozita mendapat tajaan menganjurkan majlis perkahwinannya sebanyak RM3 juta. Bagaimanapun jumlah itu dianggap terlalu tinggi kecualilah jumlah yang diundang sebanyak Rumah Terbuka Satu Malaysia.
Baru-baru ini beberapa tokoh agama menasihatkan supaya bersederhana menganjurkan majlis perkahwinan kerana bimbang terambil hak orang lain misalnya orang miskin yang tidak diundang untuk menikmati jamuan di majlis berkenaan.
Ada juga dalam kalangan masyarakat secara sinikal berkata, penaja-penaja di negara ini sangat bermurah hati tetapi sedikit kesal kerana tidak kena pada tempatnya. Ini kerana banyak rumah anak-anak yatim yang daif dan tidak cukup makan. Sepatutnya penaja bermurah hati untuk menaja mereka. Tetapi menaja anak-anak yatim tidak adalah publisiti di media seperti menaja perkahwinan artis.
“Kalau anda nak kahwin, dan ada orang datang nak taja, takkan tak nak. Saya bersyukur bila ada orang nak taja perkahwinan saya,” tegas Rozita dan menganggap majlis perkahwinannya hanya sederhana sahaja walaupun menelan belanja penaja RM3 juta.
Sebagai wanita yang sudah sememangnya menjalani kehidupan mewah, perkahwinannya sudah pasti dinanti-nantikan. Jadi tidak hairan andai perkahwinan pasangan ini dinobatkan sebagai Wedding of the Year itu.
“Saya tak kejar pun gelaran Wedding of the Year itu. Langsung tidak ada, sebab pada peringkat awal saya mahu majlis perkahwinan secara ringkas. Majlis nikah kecil-kecilan pun tak mengapa.” jelas ibu kepada Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15, ini sambil menafikan dia jahil agama sehingga berbelanja melampau untuk majlis perkahwinannya.
Tidak riak
MENGULAS tentang perkahwinan mewahnya yang digembar-gemburkan itu, Che Ta turut menyatakan kekesalan kerana mendapat persepsi kurang menyenangkan dalam kalangan masyarakat.
Perkahwinannya yang sepatutnya dikongsi dengan kegembiraan bertukar kepada suatu yang menyesakkan fikiran.
Menyedari semuanya bermula daripada publisiti melampau daripada pelbagai pihak mengenai majlis perkahwinannya.
Gerak hatinya lebih selesa untuk berahsia tentang perincian majlis perkahwinannya seperti wang dan barang hantaran, impian majlis kahwin serta apa juga berkaitan.
“Bila ada media yang buat laporan khas tentang perkahwinan kami, niat asal saya dah berubah. Daripada berahsia, jadi tak. Sebab cerita dah didedahkan. Semua orang dah tahu.
“Saya pula jadi serba salah. Nak tak nak saya kena beritahu juga.
“Jadi tak timbul soal riak sebab memang kalau tahu jadi gembar-gembur macam ini, saya lebih rela berahsia daripada bercerita. Hati kita pun tak sakit apabila orang asyik bercerita yang bukan-bukan,” katanya.
Dalam pada itu Zain turut menyatakan rasa kesal apabila masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan perkahwinan dengan Rozita.
Paling membimbangkan andai ada pihak yang melabel mereka sebagai jutawan. Walhal hakikatnya, mereka seperti orang kebanyakan yang perlu bekerja kuat untuk hidup dalam selesa.
“Biarlah orang nak cakap apa pun. Kita jangan terlalu ambil hati atas apa yang orang cakap pada kita. Nanti kita yang susah hati,” katanya Zain yang menyediakan hantaran bernilai lebih RM100,000 kepada Rozita.
Ini membuktikan Zain boleh hidup mewah sebagai pelakon, kalau tidak sudah tentu tidak sanggup memberikan hantaran sahaja sudah RM100,000 tidak termasuk belanja lain.
0 comments :
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.